Ahad, 15 Disember 2013

PENJAGAAN LANTAI

Assalammualaikum semua :)

Macam biasa, hari ini kami akan kongsikan kepada anda tips untuk penjagaan lantai agar lantai anda kelihatan cantik berseri.  Kemasan lantai yang indah memang menjadi idaman semua.  Biar apa pun material yang digunakan, pemilik harus pandai memberikan perhatian dan penjagaan yang baik agar lantai anda sentiasa terpelihara dan tidak rosak.


Tambahan pula pemilihan lantai yang tepat bukan sahaja memberi lebih keselesaan, malah ia mampu menyerlahkan lagi aura bagi sesebuah kediaman.  Sebaiknya anda perlulah mengetahui teknik penjagaan lantai yang tepat mengikut jenis atau material yang digunakan.  

  • Lantai Kayu
Sudah menjadi trend pada zaman sekarang ramai pemilik rumah menggunakan lantai kayu bagi menggantikan jubin.  Ini kerana kemasan kayu akan kelihatan lebih natural dan klasik.  Walau bagaimanapun, setiap yang indah itu perlulah diberi penjagaan rapi agar keindahan itu tidak akan pudar.

Tips
  1. Bersihkan debu di penjuru lantai dengan menggunakan kain lembut yang lembap atau vakum.  Jangan gunakan berus untuk mengelakkan permukaannya tercalar ketika proses mencuci.
  2. Alaskan perabut dengan pengalasnya agar tidak merosakkan lantai kayu anda.
  3. Lapkan dengan segera sekiranya terdapat tumpahan sisa makanan atau minuman di atas lantai. Halakan kipas angin di kawasan lembap tersebut untuk mengelakkan kelembapan masuk ke dalam lantai dan menjadikannya mengelembung dan merekah.



  • Lantai Berlamina
Kemasan lantai jenis ini hadir dengan pelbagai corak yang menyerupai kayu, jubin atau batu dalam pelbagai warna.  Berbanding dengan lantai kayu, lantai berlamina ini lebih mudah untuk dijaga dan dikendalikan.  Ia juga tidak mudah calar, kalis air dan juga serap bunyi.

Tips
  1. Bersihkan permukaan lantai dengan menggunakan kain  pengelap, penyapu ataupun vakum.  Jika membuat pembersihan menggunakan air, pastikan anda lap kering menggunakan tuala bagi mencegah air daripada menyerap masuk ke dalam lantai.
  2. Elakkan daripada membersih menggunakan sabun untuk mengelakkan kesan tompokan pada lantai dan merosakkan permukaan lantai.





  • Lantai Vinil
Lantai vinil boleh mengubah dekorasi rumah anda dengan baik.  Lantai vinil mempunyai pelekat dibawahnya yang boleh dilekatkan di atas lantai dengan mudah.  Cara pemasangan lantai vinil juga lebih mudah berbanding dengan lantai jenis lain.  Sifat lantai ini elastik, mudah dipasang dan sangat selesa dipijak.

Tips
  1. Kemasan lantai vinil agak susah untuk dibersihkan kerana ia mudah memerangkap habuk.  Namun sebarang kerosakan boleh dibaiki dengan mudah dengan cara menukarkan kepingan vinil yang baru.


  • Jubin Seramik
Kelebihan menggunakan jubin seramik terletak pada ciri tahan kelembapan dan permukaannya yang berkilat dan mudah dibersihkan.  Selain daripada jubin jenis berkilat, terdapat juga jubin jenis yang tidak berkilat yang sesuai digunakan untuk ruang yang sering terdedah pada kelembapan atau air.

Tips

  1. Penjagaan jubin bermula daripada hari pertama ia mula dipasang.  Seeloknya jubin yang dipasang tidak dipijak selama 4 hari selepas dipasang.  Sesuai digunakan dengan lasak selepas 2 minggu pemasangannya.
  2. Bagi mengelakkan ia mudah pecah, pilih jubin seramik yang benar-benar keras dan tidak mudah retak.  Sebaiknya simpan bekalan jubin sebagai persediaan jika jubin lama mengalami kerosakan.


  • Permaidani / Karpet
Jika mahukan lebih keselesaan semasa kaki melangkah, penggunaan karpet adalah pilihan paling tepat. Terdapat pelbagai jenis fabrik, ketebalan, corak dan warna yang boleh dipilih.  Lihat permukaan bawahnya bagi menentukan kualiti karpet tersebut.

Tips
  1. Karpet paling banyak memerangkap habuk. Oleh itu, anda perlu selalu membersihkannya menggunakan vakum.
  2. Jika jarang digunakan, gulungkan karpet anda dan bahagian hujungnya dibalut dengan plastik bagi mengekalkan keindahannya.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan